ALOR SETAR - Penyandang Juara Piala FA, Kedah sedia memberi tentangan sengit kepada Pahang pada pusingan ketiga Piala FA 2018 di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Pengurus Kedah, Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata, pasukannya akan menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan tersebut dan menggesa pemain beraksi bagaikan di pentas final.

“Tewas mengejut kepada Kuala Lumpur pada perlawanan kelima Liga Super 2018 harus dijadikan pengajaran kepada semua pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya bertemu Pahang.

“Kami mahu mempertahankan Piala FA yang dijulang pada musim lalu bertemu Pahang dan sekali lagi kami akan berdepan mereka lebih awal di peringkat pusingan ketiga pada Sabtu ini,” katanya.

Beliau mengakui Pahang juga antara pasukan pilihan jika diukur dari sudut prestasi semasa di peringkat Liga Super selepas lima perlawanan.

Bagaimanapun, beliau percaya Tok Gajah masih lagi ada kelemahan walaupun rata-rata melihat pasukan tersebut mempunyai jentera serangan yang baik apabila dibarisi pemain import berkualiti.

“Sudah tentu persediaan rapi akan dilakukan oleh Ketua Jurulatih, Ramon Marcote bagi menghadapi perlawanan ini dengan menambah baik dan membaiki kelemahan yang dipamerkan oleh Kedah semasa tewas kepada Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya.