KOTA BHARU - Jodoh Ahmad Shukri Ab Hamid dan Hattaphon Bun An bersama The Red Warriors (TRW) berakhir lebih awal apabila mereka secara rasmi dilepaskan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), berkuat kuasa hari ini.

Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, kedua-dua pemain berkenaan yang jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama bebas mencari pasukan baharu.

"Penamatan kontrak dua pemain ini dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua pihak.

"Ini merupakan sebahagian daripada langkah dilakukan pihak Kafa dalam usaha mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung untuk mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, selain Ahmad Shukri dan Hattaphon, Kafa juga sedang kenal pasti pemain lain yang akan dilepaskan secara persetujuan bersama, selepas ini.

Ahmad Shukri, pemain tengah PKNP FC musim lalu mengikat kontrak selama dua tahun manakala Hattaphon beraksi bersama Kelantan, sejak tahun lalu.