SELEPAS dibelasah teruk Kuala Lumpur minggu lalu, Kelantan perlu bangkit mencari kemenangan apabila bertemu Negeri Sembilan pada saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengakui pertemuan tersebut cukup penting bagi The Red Warriors (TRW) untuk mengakhiri episod buruk tewas dalam dua perlawanan, sebelum ini.

“Insya-ALLAH peluang untuk Kelantan mendapatkan mata penuh tetap ada namun kami kena bekerja lebih keras dan tidak boleh leka sepanjang aksi 90 minit.

“Kami harus mendapatkan kemenangan untuk meningkatkan kembali keyakinan penyokong. Memang benar dalam bola sepak ada menang ada kalah, tetapi kami tidak mahu dikecewakan buat kali ketiga,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Pertemuan dua pasukan tercorot liga itu sepatutnya berlangsung di Kota Bharu, namun atas permintaan Kelantan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meluluskan permohonan diadakan di Paroi dengan skuad pantai timur itu menjadi tuan rumah.

Mengulas lanjut, pemain berusia 19 tahun itu memberitahu, dia dan rakan sepasukannya sudah melupakan kekalahan besar 1-5 kepada Kuala Lumpur dan kembali fokus untuk menghadapi skuad Hobin Jang Hobin.

Menurutnya, walaupun Kelantan tampil selaku tuan rumah, namun dia tidak merasakan ia satu kelebihan kerana Negeri Sembilan sebenarnya bakal memperoleh sokongan padu penyokong mereka.

“Ia satu pertemuan sukar kerana Negeri Sembilan juga dahagakan kemenangan untuk keluar daripada zon penyingkiran setelah menghuni tangga terbawah sejak sekian lama.

“Apatah lagi pasukan itu mendapat sentuhan jurulatih baru dari Portugal (Mario Lemos) dan sudah tentu corak permainan mereka berbeza berbanding ketika seri 1-1 dalam pusingan pertama lalu,” katanya.