TINDAKAN segelintir penyokong Kedah yang melancarkan kempen boikot ke Stadium Darul Aman berikutan pembatalan siaran langsung perlawanan ke-16 Liga Super 2017 Kedah dan Selangor tidak berjaya apabila hampir 20,000 tetap hadir memberikan sokongan, kelmarin.

Jumlah kehadiran tersebut mengambarkan sokongan tidak berbelah bahagi ditunjukkan oleh penyokong Hijau Kuning walaupun masih ada di kalangan mereka tetap kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kerana tidak mahu siaran langsung tiga perlawanan berturut-turut dibuat di laman sendiri.

Salah satu laman facebook dikenali Lang Merah Fans yang memuatkan poster di statusnya pada 14 Julai lalu mendakwa, KFA tidak memikirkan golongan kurang berkemampuan kerana bukan semua mampu untuk ke stadium.

Kempen boikot yang digerakkan oleh sebuah laman facebook.

Poster tersebut telah dikongsi sebanyak 168 pelayar, hampir 500 darinya memberi komen manakala lebih 1,700 menyukai status tersebut.

Bagaimanapun tinjauan semalam mendapati sebahagian besar pelayar yang memberi komen tidak setuju dengan tindakan yang dilakukan oleh laman facebook yang mempunyai 28,034 pengikut itu.

Mengulas situasi berkenaan, Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kedah, Nor Asmadi Hamzah berkata, sukar untuk mempengaruhi sebahagian besar penyokong Kedah memboikot perlawanan di stadium kerana sukan tersebut merupakan hiburan nombor satu di negeri ini.

Sebahagian besar netizen tidak setuju dengan tindakan boikot.

Menurutnya, beliau memahami perasaan segelintir penyokong yang kecewa dengan tindakan KFA namun masih ada saluran lain yang boleh digunakan untuk membuat bantahan.

"Penyokong sejati tidak akan memboikot sesuatu perlawanan di stadium jika tidak membabitkan alasan yang cukup kukuh kerana sukan ini adalah sukan utama bagi rakyat Kedah.

Tambahan pula jika membabitkan perlawanan besar seperti bertemu Selangor, memang penyokong akan berusaha datang untuk memberikan sokongan dan jelas semalam (kelmarin) stadium hampir penuh," katanya kepada Sinar Harian.