BEKAS pemain Kedah era 80 dan 90-an, Khamal Idris Ali dipilih sebagai Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kedah (KEFA) bagi penggal 2018-2020 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di Dewan Muzium Negeri Kedah, tengahari tadi.

Beliau ditemui berkata, fokus persatuan tersebut adalah ke arah menjaga kebajikan semua lapisan umur ahli-ahlinya.

Menurutnya, beliau meletakkan sasaran agar Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan lebih berdaya saing dan menganjurkan lebih banyak aktiviti sepanjang tempoh tiga tahun tersebut.

"Saya berharap kepimpinan baharu yang ada sekarang ini akan dapat bersama membantu kebajikan bekas-bekas pemain Kedah dan agenda pertama yang akan digerakkan adalah untuk menjadi badan gabungan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) secepat mungkin," katanya.

Lebih 40 bekas pemain Hijau Kuning dari era 70-an sehingga tahun 2016 hadir membuat pemilihan baharu bagi kepimpinan persatuan tersebut untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Khamal yang merupakan Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan dibantu bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden KEFA.

Bagi jawatan Naib Presiden KEFA pula disandang bekas pemain sensasi Hijau Kuning yang juga pengulas bolasepak hari ini, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Dua lagi jawatan naib presiden menjadi milik pemain Kedah era 90-an,Mohd Feriza Ismail dan bekas pemain era 80-an yang menetap di Langkawi, Fuad Abdullah.

Lima bekas pemain terpilih untuk mengisi kedudukan ahli jawatankuasa iaitu pemain pada era 70-an, Koet King Heong, pemain pada era 80-an, Ahmad Sobri Ismail, pemain pada era 90-an, Rosli Hussain dan dua pemain era tahun 2000, Victor Andrag dan Fauzi Nan.