SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meminta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) agar membuka siasatan terhadap jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menerusi satu status yang dimuatnaik di laman Twitter, Guan Eng berkata LHDN perlu menyiasat Jho Low dan keluarganya berhubung sebarang bentuk pulangan atau penerimaan yang membabitkan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

"Lembaga Hasil Dalam Negeri diminta siasat Jho Low dan keluarganya berkaitan dengan sebarang pulangan atau penerimaan dalam skandal 1MDB," tulis Guan Eng, hari ini.

Terdahulu, bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo menegaskan, Jho Low sememangnya mempunyai kaitan dengan skandal membabitkan 1MDB.

Sebelum itu, Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown turut mendedahkan perkara sama dengan mendakwa Jho Low adalah pemain utama di belakang skandal 1MDB.