PENGENDALI Manchester United, Jose Mourinho mahu pemainnya melupakan kegagalan di Eropah selepas tewas 1-2 kepada Sevilla di Old Trafford sekali gus tersingkir daripada Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Wissam Ben Yedder meledak dua gol dalam tempoh empat minit pada babak kedua bagi membantu Sevilla layak ke suku akhir buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

“Saya tidak mahu membuat drama mengenai kegagalan ini kerana Ahad ini kami ada perlawanan penting (menentang Brighton and Hove Albion dalam suku akhir Piala FA).

"Kami tiada masa untuk bersedih lebih daripada 24 jam, itulah bola sepak. Ia bukannya bermakna dunia berakhir.

"Liverpool masih bertahan di Liga Juara-Juara, tapi tersingkir di Piala FA dan inilah bola sepak. Kami kalah hari ini tapi esok belum pasti.

"Lagipun saya tidak fikir persembahan kami buruk. Saya melakukan yang terbaik, pemain melakukan yang terbaik. Kami mencuba, kami tewas dan inilah bola sepak," katanya.

Ketika ditanya adakah menjuarai Piala FA dan buru kedudukan empat terbaik menjadi sasaran United musim ini, Mourinho mengiyakannya.