BEKAS pengendali Manchester City dan Inter Milan, Roberto Mancini sah dilantik sebagai jurulatih Itali dalam usaha mengubah nasib skuad itu pada kejohanan akan datang.

Juara dunia empat kali itu sebelum ini tidak memiliki sebarang jurulatih tetap sejak Gian Piero Ventura dipecat susulan kegagalan mereka menempah tiket ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1958.

Pesuruhjaya Persatuan Bola Sepak Itali, Roberto Fabbricini berkata, Mancini pilihan yang layak selepas meneliti pengalamanya serta melihat 'keinginan  mendalam' dalam dirinya untuk menjadi jurulatih baru Itali.

“Ia berlaku seperti yang kita harapkan, kami gembira dan begitu juga Mancini. Kami akan jelaskan secara menyeluruh tentang kontrak itu nanti,” katanya selepas kontrak itu ditandatangani di Rome.

Tugas Mancini termasuk membentuk dan membawa Itali ke Kejuaraan Eropah 2020 dengan perlawanan pertama kendaliannya adalah aksi persahabatan menentang Aranb Saudi di Switzerland 28 Mei ini.

Mancini pernah membawa Manchester City menjulang gelaran Inggeris pertama selepas 44 tahun pada 2012, menjuarai tiga gelaran Serie A dengan Inter Milan. Beliau juga menjulang Piala Itali bersama Inter, Fiorentina dan Lazio.