SHAH ALAM - Orang ramai dijemput hadir menyertai  program Iftar secara percuma ala Dataran Masjid Nabawi yang akan bertempat di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini, sempena Karnival Karangkraf, minggu depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, program tersebut akan berlangsung dari 1 hingga 3 Jun,  bercorakkan rehlah di dataran terbuka.

“Program ini terbuka untuk semua, penganjur akan menyediakan makanan percuma kepada 3,000 orang pada 1 Jun dan 10,000 orang pada 2 serta 3 Jun.

“Kita galakkan orang ramai yang hadir bawa makanan tambahan untuk keluarga masing-masing kerana suasana program ini bersifat berkelah santai,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Peluang infak di bulan Ramadan

Menurutnya, orang ramai tidak perlu risau berkenaan ibadat solat kerana Karangkraf mempunyai tempat solat yang selesa dan solat sunat Tarawih turut diadakan.

“Kami juga ingin beri peluang kepada semua yang ingin berinfak, terutamanya usahawan dalam industri makanan dan dermawan lain untuk menyumbang kepada program ini.

“Mereka boleh menyumbang apa sahaja yang sesuai seperti kurma, nasi bungkus, buah-buahan, kuih muih, minuman dan lain-lain,” katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang boleh hubungi Cha melalui Whatsapp di talian 0193889581.