MESKIPUN berjaya melepasi halangan  pertama saingan Piala FA, namun pasukan Terengganu City FC (TCFC) masih belum mampu untuk menarik nafas lega apabila bakal berdepan lalun getir pada aksi pusingan kedua bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, 2  Mac depan.

Ketua jurulatih TCFC, Mohd Noor Mohd Derus mengakui lawan mereka nanti bukan calang-calang pasukan memandangkan Kelantan bukan sahaja pernah menjuarai saingan Piala FA sebelum ini bahkan antara pesaing terkuat dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Begitupun katanya, mereka akan sedaya upaya untuk memberikan aksi terbaik menentang jiran tetangga dari Liga Super itu.

"Kalau diikutkan sememangnya jurang antara kami dan Kelantan jauh berbeza, tetapi ia bukan menjadi alasan untuk kita memberi laluan mudah buat mereka ketika turun berkunjung di gelanggang lawan nanti.

“Justeru, saya harap pemain dapat segera melupakan seketika kemenangan ini sebaliknya terus fokus dalam memperkemaskan semula pasukan untuk memberi cabaran sengit pada aksi 2 Mac depan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan, malam tadi.

Skuad TCFC berjaya melangkah ke pusingan seterusnya apabila mencipta kebangkitan selepas ketinggalan 0-1 menerusi rembatan Mohd Arfiyahsah Abdul Jaafar pada minit ke- 64 sekaligus menyaksi Jerantut FA berada di depan.

Jaringan itu nyata tidak melemahkan semangat skuad kendalian Mohd Noor Mohd Derus apabila Mohd Rahizi Mohd Rasib bangkit menjaringkan gol penyamaan  pada minit 67, sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85.

Mengulas lanjut, bekas pemain skuad Penyu itu berkata, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki membabitkan hampir kesemua posisi dalam pasukan khususnya jentera serangan, tengah dan pertahan sebelum membuka tirai saingan Liga FAM  bertemu PJ Rangers  Mac nanti.