BUKIT JALIL – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka mengadakan pemilihan datuk bandar selepas tiga tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) kerana mahu memastikan kewangan negara benar-benar stabil terlebih dahulu.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan memerlukan masa untuk menstabilkan kewangan negara sebelum mengadakan pemilihan datuk bandar kerana ia membabitkan kos.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah kerajaan ketiga, wajar untuk adakan pemilihan datuk bandar sekarang memandangkan kita ada banyak perkara yang kita nak kemas kini.

“Dalam masa enam bulan baru kita lihat kajian untuk pelaksanaannya memandangkan kita kena menstabilkan ekonomi negara yang mempunyai hutang RM1 trilion.

“Saya boleh katakan ianya akan berlaku dalam tiga tahun  (sasaran),”katanya ketika sidang media selepas melawat Rumah Transit 1Malaysia di sini hari ini.

Zuraida menambah, bagaimanapun pemilihan tersebut tidak boleh menjadi beban kepada kerajaan untuk menanggung perbelanjaan proses itu kelak malah beliau bersedia jika perbelanjaan kementerian yang diketuainya kini perlu dikurangkan untuk mempercepatkan proses pilihan datuk bandar diadakan di seluruh negara.

Sementara itu,sSebagai langkah penjimatan Zuraida turut berpandangan pemilihan datuk bandar pada masa akan datang mungkin boleh diadakan secara berperingkat termasuk mungkin mendahulukan negeri di bawah Pakatan Harapan seperti Selangor atau Pulau Pinang.

Untuk rekod, pilihan raya PBT  pernah diadakan di Malaysia bagi memilih ahli jawatankuasa di peringkat daerah sebelum tahun 1964.

Bagaimanapun, sistem pilihan raya ini dimansuhkan bagi mempercepatkan proses pembangunan, kemudian Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada November 2006 dalam sidang Dewan Rakyat  pernah mencadangkan agar pilihan raya PBT diadakan semula.