KESERASIAN pemain menjadi resipi kejayaan skuad Felda United memulakan saingan awal Liga Premier dengan cemerlang termasuk menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, semalam.

Ketua Jurulatih Felda United B. Satiananthan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi dan semangat anak buahnya, meskipun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi untuk terus mengekalkan rentak permainan pada musim ini.

"Perancangan untuk mencari gol awal membuahkan hasil apabila gandingan pemain import, Gilberto Valdenesio Fortunato dan Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya menguji benteng pertahanan lawan sejak awal permainan.

"Walaupun kita baru memasuki perlawanan ketiga musim ini, saya sudah nampak ada keserasian antara pemain lama dan baharu, ia sangat penting bagi memastikan Felda United terus memperoleh keputusan baik seperti malam ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata, semua pemain menunjukkan corak permainan yang baik dan mengawal permainan babak pertama, yang berkesudahan dengan skuad The Fighters memperoleh dua gol sebelum gol ketiga dijaringkan semasa perlawanan berbaki lima minit.

Satiananthan berkata prestasi pemain pada bahagian pertahanan diketuai Muhammad Shukor Adan juga harus dipuji apabila berupaya menyerap asakan pasukan Pulau Pinang dan berharap momentum itu dikekalkan ketika perlawanan seterusnya.

“Saya juga berharap Thiago Augusto Fernandes yang mengalami kecederaan baru-baru ini segera pulih. Malam ini saya turunkan juga dia pada minit ke-80 bagi melihat tahap kecergasannya dan nampaknya dia masih perlukan masa untuk pulih.

Sementara itu, pengendali Pulau Pinang Zainal Abidin Hassan berkata, beliau akur dengan kekalahan pasukan harimau kumbang itu kepada pasukan lawan kerana kelalaian yang dilakukan anak didiknya pada perlawanan itu..

Katanya, pemain juga menyedari mereka melakukan kesilapan pada babak pertama perlawanan sehingga gol dibolosi dua kali dan berharap ia tidak berulang pada perlawanan seterusnya.

"Mereka tidak fokus dan gagal mengikuti perancangan yang kita lakukan sebelum perlawanan bermula, ini tidak patut berlaku dan kita kena cari jalan supaya masalah  ini tidak berulang," katanya.

Zainal Abidin berkata tempoh rehat 12 hari selepas ini akan digunakan sebaik mungkin bagi memperbaiki kelemahan yang ada antara lainnya prestasi yang belum mencapai tahap sebenar. - Bernama