PENYOKONG Kedah masih menunggu sentuhan yang boleh dibanggakan terhadap prestasi semasa penyerang import, Pablo Pallares selepas tiga perlawanan Liga Super 2018.

Pengerusi Kelab Penyokong Kedah Darul Aman, Nor Asmadi Hamzah berkata, rata-rata penyokong belum melihat apa impak kehadiran penyerang Sepanyol itu selepas pemilihannya dilakukan sendiri oleh Ketua Jurulatih, Ramon Marcote tanpa campurtangan pihak ketiga.

Menurutnya, mereka juga masih meragui kemampuan Pablo kerana penampilannya bersama Sociedad Deportiva Ponferradina di Liga Sepanyol pada musim 2017 tidak mengembirakan kerana hanya menjaringkan dua gol dalam 28 perlawanan.

"Rata-rata penyokong Kedah memang tidak gembira dengan rekod yang dimiliki oleh Pablo bersama kelab-kelab lamanya sebelum ini dan kami hairan bagaimana Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) boleh menerima pemain itu beraksi bersama Kedah musim ini.

Mana ciri-ciri Pablo sebagai penyerang, jika begini prestasinya lebih baik beliau diberi amaran dan jika masih gagal kami sarankan pasukan menggunakan penyerang tempatan sahaja," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.

Nor Asmadi berkata, sesuatu perlu dilakukan oleh KFA jika kehadiran Pablo masih gagal memberikan impak positif pada beberapa perlawanan akan datang.

Menurutnya, bagaimanapun keputusan persatuan itu mengikat bekas import Selangor, Andik Vermanshah pada penghujung pintu perpindahan pertama pemain 2018 banyak membantu menampung kekurangan yang dipamerkan oleh pemain Sepanyol itu.

"Sudah tiga perlawanan Liga Super 2018 termasuk beberapa siri persahabatan Pramusim 2018, kami tengok Pablo seolah-olah masih lagi mencari rentak.

Pengurusan perlu minta Marcote lakukan sesuatu atau menyesuaikan taktikal dengan kemampuan Pablo namun pada waktu yang sama perubahan tersebut diharap tidak akan menganggu rentak pasukan secara keseluruhan," katanya.

Sementara itu, Bekas Ketua Jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau memahami perasaan penyokong pasukan itu namun masa masih perlu diberikan kepada penyerang berkenaan.

Menurutnya, beliau akui selepas tiga perlawanan liga memang tidak nampak kemampuan sebenar Pablo.

"Jika kita melatah sekarang sudah tidak berguna kerana pintu perpindahan pemain import pertama sudahpun ditutup, jadi buat masa sekarang terus beri peluang kepada Pablo dan diharapkan akan ada impak pada beberapa perlawanan akan datang," katanya.