PENYOKONG Perak berharap supaya jadual perlawanan di bulan Ramadan dapat dirombak semula pada masa depan.

Presiden Die Hard Fanz, Roslan Mat Baharom  berkata, Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) sewajarnya lebih serius menyusun jadual perlawanan demi menghormati bulan mulia berkenaan.

“Kita difahamkan, akan berlangsung beberapa perlawanan pada bulan Ramadan ini. Bagi saya, ia perlu dirombak demi menghormati bulan mulia ini.

“Oleh itu, saya berharap FMLLP dapat mengubah jadual di bulan Ramadan ini. Lagipun kita percaya, penyokong pasti akan berkurangan untuk hadir ke stadium menyaksikan perlawanan.

“Apapun keputusan terpulanglah kepada FMLLP untuk memikirkan penyelesaian yang terbaik bagi perlawanan yang akan diadakan pada bulan Ramadan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Roslan berkata demikian bagi mengulas berhubung beberapa perlawanan yang melibatkan skuad The Bos Gaurus  itu di sepanjang bulan Ramadan kali ini.

Sementara itu bagi krew yob4ever.com, Ahmad Zaimy Abdul Mohd Yatim berkata, aksi sepanjang Ramadan sewajarnya diputuskan pada peringkat awal demi mengelakkan timbulnya sebarang masalah.

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan (beraksi di bulan Ramadan) juga boleh dirujuk kepada pihak yang lebih arif khususnya melibatkan tokoh-tokoh agama bagi memberikan pandangan.

“Sewajarnyalah kita menghormati bulan Ramadan. Tetapi, sekarang ni jadual sudah pun disusun, jadi ikut sahaja perancangan yang telah di buat sejak awal.

“Namun bagi saya, sepatutnya keputusan untuk beraksi pada bulan Ramadan harus diputuskan lebih awal dan  sewajarnya minta nasihat daripada mereka yang pakar, sebagai contoh apakah sesuai atau tidak atau perlukah permainan dilewatkan sedikit dan sebagainya,” katanya lagi.

JADUAL

26 Mei
Perak  lwn PKNP FC
(Std Perak, 10 mlm)

2 Jun
JDT  lwn Perak
(Std Larkin, 10 mlm)

6 Jun
Negeri Sembilan lwn Perak
(Std Paroi, 10 mlm)

9 Jun
Perak lwn  Negeri Sembilan
(Std Perak, 10 mlm)

19 Jun
Selangor  lwn Perak
(Std PBKL, 10 mlm)

*Jadual aksi Bos Gaurus sepanjang Ramadan 2018 (1439H)
*Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan