JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berjaya menundukkan Persija Jakarta 3-0, malam tadi sempena perlawanan pertama kempen Piala AFC musim ini dalam kumpulan H.

Gol JDT diperoleh menerusi Hazwan Bakri, Jorge Pereyra Diaz dan Safawi Rasid.

Skuad Harimau Selatan mengusai perlawanan sejak awal permainan dengan asakan demi asakan sehingga membuahkan jaringan pertama pada minit ke-29 menerusi Hazwan Bakri.

Pemain import JDT, Jorge Pereyra Diaz kemudian menambah kelebihan jaringan tuan rumah 2-0 menerusi gerakan menarik pada minit ke-41.

Meskipun pasukan pelawat berpeluang mendekatkan jurang gol pada minit ke-70 menerusi penyerang, Bambang Pamungkas namun ia telah gagal disempurnakan dengan baik.

Pemain JDT, Safawi yang dibawa masuk menggantikan Hazwan telah meletakkan kedudukan selesa buat JDT dengan jaringan ketiga pada minit ke-76 selepas menerima hantaran Diaz.