"ARGENTINA tidak berhutang dengan Lionel Messi untuk ke Piala Dunia, sebaliknya dunia terhutang budi kepadanya".

Demikian kenyataan Pengurus Argentina, Jorge Sampaoli apabila diminta mengulas kejayaan dramatik Argentina mara ke Piala Dunia Rusia 2018 selepas menewaskan Ecuador 3-1 Estadio Olimpico Atahualpa, Quito menerusi hatrik Messi.

Menurutnya, beliau berbangga dapat berada dalam satu skuad dengan pemain yang disifatkannya sebagai terbaik di dunia itu.

"Pemain terbaik di dunia adalah datangnya dari Argentina. Tiada keraguan bahawa Messi  ialah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak.

"Tanpa kelibat pemain seperti beliau pastinya Piala Dunia akan hilang serinya.

"Saya sangat berbangga berada di dalam satu kumpulan dengan pemain terbaik sepertinya," katanya.

Dalam pada itu, Sampaoli turut menyifatkan kejayaan dramatik ini akan menjadikan pasukannya lebih kuat di Piala Dunia itu nanti.