UJIAN sampel B bagi kes doping membabitkan penjaga gol bawah-23 (B-23) negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang gagal ujian sampel A sewaktu Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Changsu, China, telah dibuat pada Isnin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media semalam mengesahkan perkara itu apabila Ahmad Syihan Hazmi memohon supaya sampel B diuji.

“AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) akan ambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Ahmad Syihan Hazmi tidak dibenarkan beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60 hari itu,” katanya.

Menurut kenyataan media oleh FAM, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan  Ahmad Syihan Hazmi dikatakan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi.

Berkuat kuasa serta merta, Ahmad Syihan Hazmi dilarang beraksi bersama Negeri Sembilan bermula bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Rabu (7 Februari) biarpun beliau turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC sebelum itu.

Untuk rekod, Hamidin berkata, FAM telah menerima surat daripada AFC pada 6 Februari, menyatakan bahawa Ahmad Syihan Hazmi didapati positif metabolite methandienone, sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari. - Bernama