KEJAYAAN Portugal mara automatik ke Piala Dunia 2018 dianggap hadiah istimewa oleh pengurusnya, Fernando Santos.

Santos berkata, beliau sejak dari awal lagi yakin skuad kendaliannya itu mampu mara dengan mudah tanpa perlu mengharungi pusingan playoff.

"Saya selalu yakin kami mampu melakukannya. Saya percaya keyakinan itu telah dibalas pemain untuk memberikan hadiah istimewa ini kepada saya.

"Bagaimanapun saya akui di pusingan kelayakan ini kami tidak cukup sempurna. Tapi pada akhirnya kami menang di perlawanan terakhir sekali gus bakal berangkat ke Rusia tahun depan," katanya.

Penentuan juara dan naib juara Kumpulan B awal pagi semalam berlangsung sengit antara Portugal dan Switzerland di Estadio da Luz, Lisbon.

Switzerland yang hanya memerlukan seri untuk mengesahkan tempat secara automatik di Piala Dunia bagaimanapun terpaksa berputih mata.

Satu gol sendiri pelawat, Johan Djourou dan satu gol Andre Silva cukup meletakkan Portugal menjadi juara kumpulan dengan perbezaan jaringan walaupun kedua-dua pasukan terikat dengan 27 mata.