KUALA TERENGGNU - Pengendali skuad Hoki Terengganu, Sarjit Sigh menuntut anak buahnya kembali fokus dalam aksi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) setelah lima kali percubaan mereka untuk menjulang Piala Sumbangsih menemui kegagalan selepas tunduk kepada juara bertahan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-5 di Stadium Hoki, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, meskipun tewas namun dia tetap berpuas hati dengan kebangkitan yang ditonjolkan pemain apabila berjaya mengheret perlawanan ke penentuan penalti ‘shoout out’ selepas mengikat kedudukan 2-2 sehingga  tamat permainan sebenar.

“Tak banyak yang saya boleh komen kerana pasukan  kita (THT) bermain dengan baik, kecuali kesilapan kedua membolehkan mereka (KLHC) mengukuhkan kedudukan.

“Dalam aksi kompetitif sebegini kita perlu melakukan jaringan dan pemain telah membuktikan pada babak kedua perlawanan apabila bukan sahaja bangkit mendominasi perlawanan bahkan menyamakan kedudukan namun kita tewas dalam aksi ‘shoot out’,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Mengulas lanjut, Sarjit Singh berkata, kejayaan meraih satu mata dalam aksi Piala Sumbangsih itu secara tidak langsung memberi permulaan positif buat pasukannya  dalam memburu kejuaraan liga musim ini.

Justeru katanya, pemain perlu fokus untuk terus mengutip mata terutamanya pada aksi pertemuan dengan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) malam esok (Ahad) dan tidak boleh kehilangan mata sekaligus mengharapkan prestasi pasukan semakin cemerlang dari perlawanan ke perlawanan.

Sementara itu, penyerang utama skuad THT, Faizal Saari mengakui kecewa dengan kekalahan itu, bagaimanapun  mengharapkan keputusan tersebut  tidak melemahkan semangat rakan-rakan sepasukannya  untuk  bangkit meraih kejayaan pada aksi liga.

Katanya, dia dan rakan-rakan sepasukan telah memberikan aksi terbaik untuk memenangi perlawanan itu, namun nasib tidak menyebelahi mereka dalam aksi penalti ‘shoot out’ untuk menamatkan penantian menjulang Piala Sumbangsih buat kali pertama musim ini.

"Bagi saya, dalam pukulan 'shoot-out' ia bergantung kepada nasib dan kegagalan saya menyempurnakan kerana  penjaga gawang KLHC Roslan Jamaluddin jauh  lebih berpengalaman.

"Sekalipun kami terlepas  dua piala musim ini, ia tidak akan melemahkan moral  pasukan   sebaliknya kami akan terus fokus untuk mengharungi  aksi perlawanan liga selepas ini," katanya.