PENJAGA gol utama Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli masih dalam tempoh rehat dan mungkin tidak akan diturunkan bagi menutup baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Timbalan Presiden 1, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail berkata, setakat ini pemain berusia 30 tahun itu masih dalam rawatan dan keadaan kesihatannya telah menunjukkan sedikit peningkatan berbanding sebelumnya.

"Beliau memerlukan rehat yang secukupnya untuk kembali beraksi bagi musim ini, namun keadaan beliau sekarang tidak menunjukkan perkembangan yang baik dan mungkin tidak boleh beraksi untuk tempoh sebulan dua ini.

"Kita melihat posisi yang kritikal seperti penjaga gol kita tidak boleh tunggu berapa lama untuk beliau sihat. Kita terpaksa mencari langkah iaitu mengambil penjaga gol baharu bagi memastikan pertahanan kita kembali utuh. Sharbinee masih lagi dalam skuad kita, jangan risau," katanya tanpa menyatakan jenis penyakit yang dihidapi Sharbinee.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Berbuka Puasa PBSNT di sini, semalam.          

Mohd Sharbinee dilaporkan mengalami masalah jangkitan paru-paru sejak Februari lepas dan dilaporkan pernah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Wan Nawawi berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan bekas penjaga gawang kebangsaan tersebut supaya beliau mampu beraksi seperti sedia kala.

Sementara itu jurulatih pasukan Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, daripada lima pemain baharu pasukan itu, tiga daripadanya ialah pemain tempatan iaitu Azi Shahril Azmi, Ridzuan Abdunloh Pula (Felda United FC)  dan penjaga gol Faizal Yusoff dari Sungai Ara FC.

Dalam pada itu, dua import baharu ialah Gabriel Davis dari Tupi FC, Brazil dan Tchetche Hermann Brice Kipre dari Al- Suwaiq Club, Oman.

Katanya, kedua-dua pemain import itu diuji pada perlawanan persahabatan iaitu  menentang Felda United, Rabu lepas dan kelmarin menentang Pahang. Terengganu kalah 2-1 kepada Felda United dan seri 3-3 dengan Pahang.

Menurutntya, beliau berpuas hati dengan kedua-dua pemain import itu dan dua pemain tempatan baharu sudah mula menyesuaikan diri dengan pasukan manakala penjaga gol, Faizal,memerlukan latihan selepas tidak beraksi selama enam bulan. - Bernama