ANAK seladang yang diberi nama 'Chor' dipilih sebagai maskot bagi Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak yang bakal berlangsung mulai 12 September hingga 22 September depan.

Pemilihan anak seladang bagi edisi kali ini mengimbas memori penganjuran Sukma edisi kelima pada 1994 ketika Perak menjadi tuan rumah kali pertama apabila Yob iaitu seekor seladang dipilih sebagai maskot.

Pengenalan maskot dilakukan sempena Majlis Pelancaran Sukma XIX Perak 2018 disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dataran Amanjaya, Meru Raya, hari ini.

Turut diperkenalkan lagu Wow! Kita The Greatest ciptaan Datuk Wah Idris dan Rayza Hamizan sebagai lagu tema.

Logo Sukma kali ini menggabungkan elemen manusia dan gelombang air yang mewakili semangat juang atlet ditahap tertinggi serta Sungai Perak sebagai sungai kedua terpanjang di Semenanjung yang menjadi sumber keperluan asas penduduk negeri ini.

Bercakap kepada pemberita, Zambry mahu, Sukma edisi kali ini menyaksikan Perak tercatat sebagai juara keseluruhan dengan pungutan emas 70 seperti disasarkan.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil dengan mengambil semangat sebagai tuan rumah, potensi beberapa atlet yang telah mencatat kejayaaan hingga peringkat antarabangsa serta disiplin tinggi yang ditunjukkan.

"Kita tidak mahu sejarah di Sarawak dan Perlis berulang, bukan tiada pingat tetapi tidak memberangsangkan.

"Kali ini dengan bimbingan yang baik kita  menanam azam untuk muncul juara keseluruhan, setidak-tidaknya memberi saingan kuat dalam pungutan pingat," katanya.

Pencapaian terbaik Perak setakat ini adalah pada Sukma edisi kesembilan 2002 di Sabah iaitu berada di tangga kedua dibelakang Selangor dengan pungutan 49 emas.

Dengan slogan Wow, Kita Hebat, Sukma kali ini melibatkan 26 sukan dan 369 acara dipertandingkan di semua 12 daerah dalam negeri Perak.

Mengulas lanjut, Zambry berhasrat menjadikan Sukma kali ini sebagai penganjuran paling viral di media sosial dan tercatat sebagai sukan paling gemilang.

Menurutnya, selaras dengan perubahan zaman, matlamat itu boleh direalisasikan melalui saluran media sedia ada sama ada di peringkat media sosial mahupun mainstream.

"Kali terakhir kita adakan Sukma adalah pada 24 tahun lalu, masa berjalan begitu pantas, lihat saja maskot yob kita pun sudah nampak tua.

"Sebagai tuan rumah, pastinya kita mahu edisi kali ini kejayaan lebih gemilang diraih," katanya.