SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan  menyertai kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur dengan mengambil bahagian dalam sukan ekuestrian bagi acara endurance di Terengganu International Park, Lembah Bidong, pada temasya yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Naib Presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM), Mohamad Din Mat ketika mengesahkan perkara itu berkata, Sultan Mizan berada dalam senarai skuad negara kali ini kerana baginda merupakan atlet yang tersenarai  dalam ranking dunia.

Mohamad Din berkata, Sultan Mizan adalah antara empat ekuesterian terbaik negara yang berada dalam ranking dunia Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI)  dan baginda turut berminat menyertai Sukan SEA kali ini.     

"Baginda ada memaklumkan minat untuk menyertai skuad negara sekiranya terpilih nanti," katanya kepada  pemberita di sini hari ini.        

Sultan Mizan pernah menyertai Kejohanan Endurance Dunia pada 2008 di Lembah Bidong di Setiu, Terengganu.

Mohamad Din berkata, EAM telah mengadakan lima pusingan kelayakan dan pusingan terakhir akan diadakan pada 11 hingga 14 Mei ini Lembah Bidong untuk memilih 12 atlet bagi menjalani latihan pusat.         

Mengenai sasaran, Mohamad Din berkata, berdasarkan rekod cemerlang skuad negara di Sukan SEA terdahulu, beliau yakin acara endurance mampu meraih satu pingat emas apabila berkelebihan beraksi di hadapan penyokong tempatan nanti.    

Berdasarkan rekod, skuad negara meraih dua pingat emas di Sukan SEA Myanmar pada 2013 dan pencapaian yang sama pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah. - Bernama