BUKIT JALIL – Jika sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) dihalang memasuki Sarawak kerana didakwa berpotensi mengganggu gugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Bumi Kenyalang itu, kini mereka bebas keluar masuk tanpa halangan sebagai menteri Kabinet.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Sarawak dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan masalah rakyat di sana.

“Saya sudah boleh pergi ke Sarawak, sebab saya sekarang menteri. Alhamdulillah, saya aktif di Sarawak dulu.

“Dalam tempoh satu atau dua minggu akan melawat Sarawak,  kerana mereka (rakyat) menunggu kedatangan saya untuk melihat perkara yang masih belum diselesaikan,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan di Rumah Transit 1Malaysia,di sini, hari ini.

Pada 24 Mei lalu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Sarawak, Ken Laben mengesahkan beberapa menteri Kabinet disenarai hitam untuk masuk ke Sarawak sudah ditarik balik bermula 23 Mei selepas pihaknya menerima arahan daripada kerajaan negeri.

Menurutnya, menteri Kabinet yang ditarik balik daripada senarai hitam berkenaan adalah mereka yang sudah mengangkat sumpah jawatan itu Isnin lalu.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berada dalam senarai larangan memasuki Sarawak.