1 /

PENYOKONG Pahang boleh mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Makmur dan Stadium Mini Temerloh, bermula pukul 10 pagi esok.

Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Pahang Datuk Dr Omar Othman berkata Pahang selaku tuan rumah mendapat 70,000 tiket daripada 90,000 yang dipohon.
   
"Bagi pemegang tiket pada perlawanan 28 Mei lepas, mereka boleh menukar tiket berkenaan dengan yang baharu di dua lokasi terbabit.
   
"Mereka hanya boleh menukar tiket perlawanan sedia ada dengan tiket yang baru manakala penukaran kepada wang tidak akan dilayan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Katanya penukaran tiket itu tidak melibatkan tambahan wang, namun bagi yang membeli tiket baru mereka akan dikenakan bayaran RM15.

Pada masa yang sama, jika pemegang tiket 28 Mei lepas tidak mahu menggunakannya untuk perlawanan Piala FA itu, mereka boleh menggunakan tiket tersebut untuk perlawanan Pahang yang akan datang di Stadium Darul Makmur, katanya.
   
Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA itu yang dibatalkan Selasa lepas akibat kekecohan penyokong Pahang dan Johor DT akan dilangsungkan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, bermula pukul 4.15 petang seperti yang diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.
   
Pahang selaku tuan rumah pada perlawanan itu dikenakan denda RM100,000 kerana empat kesalahan manakala Johor DT pula didenda RM20,000 kerana dua kesalahan.
   
Mengulas lanjut, Omar berkata walaupun Pahang tetap sebagai tuan rumah di Stadium Bukit Jalil Sabtu ini, urusan tiket dan keselamatan adalah di bawah FAM.
   
Katanya sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat beberapa dakwaan dan insiden yang timbul pada malam Selasa lepas.
   
Pada perlawanan separuh akhir pertama, Johor DT mengalahkan Pahang 1-0 dan pemenang perlawanan Sabtu depan akan bertemu juara bertahan, Kelantan pada final 29 Jun ini. - Bernama