PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) berjaya mencipta kebangkitan selepas ketinggalan 0-1 ke atas UiTM untuk meraih kemenangan bergaya 4-1 dalam aksi pusingan kedua Liga Hoki Malaysia (LHM)- Wanita 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), sebentar tadi.

Beraksi di gelanggang sendiri, skuad kendalian Muhammad Harun Al-Rashid Samri dilihat sedikit bergelut dalam melakukan asakan ke gawang gol pelawat apabila kem UiTM terlebih dahulu mengatur gerakan bertali arus mencari jaringan pembukaan.

Begitupun gerakan solo pemain kebangsaan, Siti Rahmah Othman hampir membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke sembilan, bagaimanapun percubaan luar kotak penaltinya mudah ditepis keluar penjaga gawang UiTM.

Bersambung suku kedua, kem tuan rumah mula mempamerkan aksi sebenarnya apabila terus melakukan asakan ke kubu pertahanan pelawat dan berpeluang untuk menamatkan kebuntuan gol menerusi dua percubaan kemas, Norazlin Sumantri (minit 16) serta Rabiatu Adawiyah Mohamad (minit 17), namun gagal menepati sasaran.

Skuad kendalian Iman Gobinathan yang terus memperkemaskan benteng pertahanan mereka  ternyata memberi sekidit kesukaran buat kem tuan rumah melepasi gawang gol UiTM dan peluang keemasan TLHT untuk berada di depan hadir pada minit ke-29 menerusi pukulan sudut penalti, namun gagal disempurnakan dengan kemas Juliani Muhammad Din.

Suku ketiga perlawanan memperlihatkan kem pelawat memperkemaskan rentak permainan dan berjaya menamatkan kebuntuan gol menerusi gol padang yang dilakukan dengan kemas Nurfatin Dizana Mohd Zaidi selepas bijak mengelirukan penjaga gawang TLTH pada minit ke-33 untuk membawa UiTM di depan.

Tuan rumah yang cuba bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi dua pukula sudut penalti bagaimanapun gagal disempurnakan dengan berkesan Julaini Muhammad Din pada minit 39 dan 41 sekaligus menyaksikan TLHT terus tertekan dalam meledakkan gol.

Kerja keras kem tuan rumah dalam mencari jaringan penyamaan akhirnya tertunai apabila Julaini Muhammad Din berjaya menewaskan penjaga gawang UiTM menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 untuk kedudukan 1-1.

Dua minit selepas itu, Jualiani Muhammad Din sekali lagi menceriakan kem tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi penalti ‘stroke’ untuk membawa THT berada di depan sebelum Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail meledakkan gol ketiga hasil jaringan padang seminit selepas itu.

Seminit sebelum tamat perlawanan TLHT terus melebarkan jaringan menerusi gol keempat yang disempurnakan Norfatin Nabila Mohamad hasil pukulan sudut penalti untuk meraih kemenangan mutlak sekaligus mengembalikan semula reputasi pasukan selepas kencundang ke atas PKS Uniten 1-4, Ahad lalu.