"DATANGLAH Mohammed Ghaddar atau Cristiano Ronaldo sekali pun kalau tak baiki permainan, Kelantan tak akan ke mana.

Demikian komen legenda bola sepak, Dali Omar mengenai kepulangan semula penyerang import sensasi itu ke pangkuan Kelantan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Dali berkata, Kelantan tidak boleh bergantung pada Mohammed Ghaddar untuk mencetak gol semata-mata selagi barisan kejurulatihan skuad pantai timur itu sendiri tidak merombak sistem permainan mereka.

“Tak ada guna kalau Ghaddar datang tetapi keadaan tak berubah. Sudahlah jentera serangan tumpul, tambah pula enjin tengah tak berfungsi, takkan kita nak suruh dia turun ke bawah kutip bola sendiri.

“Kalau bola tak sampai ke kaki Ghaddar, habis tu dia nak buat macam mana. Walaupun konsisten menjaringkan gol bersama Kelantan musim lalu namun kita tak boleh harap dia seorang, kesianlah dia nanti,” katanya kepada Sinar Harian semalam.