PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berkata, kemenangan 4-0 ke atas FC Basel dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara awal pagi tadi belum menjamin tempat ke suku akhir ke pentas tersebut.

The Citizens hanya memerlukan 23 minit untuk berada selesa di depan apabila berjaya mendahului tuan rumah 3-0 dalam saingan berlangsung di Stadium Sankt Jakob Park.

Tiga jaringan pertama itu hadir dalam tempoh sembilan minit. Ia bermula menerusi tandukan Ilkay Gundogan pada minit ke-14, disusuli rembatan kencang Bernardo Silva (minit ke-18) dan tendangan jarak jauh Sergio Aguero, lima minit selepas itu.

Nasib malang Basel terus bertambah selepas permainan disambung semula apabila  Gundogan tampil sekali lagi untuk menjaringkan gol keempat City sekali gus meletakkan  Liga Perdana Inggeris itu kian hampir dengan kelompok lapan terakhir Liga Juara-Juara

"Empat jaringan di tempat lawan satu keputusan yang menakjubkan. Tapi harus diingat masih ada 90 minit perlu diselesaikan.

"Jadi, tidak ada istilah menang selesa walaupun kita menang. Jika pemain kami tidak beraksi dengan baik, kita percaya mereka (Basel) boleh mencipta kejutan apabila beraksi di sana nanti.

"Jika kami mara ke suku akhir, ia pencapaian lebih baik berbanding musim lalu," kata pengendali dari Sepanyol itu.

Musim lalu, perjalanan City terhenti di peringkat 16  terbaik selepas disingkirkan AS Monaco.