• Yunus Alif Yunus Alif
1 /

BEKAS jurulatih Perlis, Yunus Alif mengesahkan akan membimbing pasukan Perbadanan Bekalan Air (PBA) Pulau Pinang pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. Lapor NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH.

Yunus ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau telah menandatangani kontrak selama semusim bersama pasukan yang akan beraksi dalam Liga Premier itu,

"Untuk musim depan, saya akan membimbing PBA dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik untuk pasukan ini. Memandangkan ini kali pertama PBA berjaya melayakkan diri beraksi di Liga Premier, jadi saya hanya menyasarkan untuk berada di kedudukan kelima terbaik," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan PBA musim depan, Yunus memberitahu bahawa mereka tidak akan menggunakan khidmat awang import sebaliknya hanya mempertaruhkan kudrat pemain tempatan untuk mengharungi saingan Liga-M.

Mengakui bukan mudah untuk berdepan dengan pasukan yang berbelanja besar dalam mendapatkan pemain import, namun bekas jurulatih T-Team itu tetap yakin dengan kemampuan pemain tempatan dan menganggap inilah masa yang sesuai untuk pemain tempatan membuktikan kemampuan masing-masing.

"Pihak pengurusan memutuskan untuk tidak mengambil pemain import musim depan, dan bagi saya ambil atau tidak ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana dalam sesebuah pasukan kekuatan bukan sahaja bergantung kepada pemain import,

"Saya yakin pemain tempatan dapat membuktikan bahawa tanpa pemain import kita mampu berdiri sendiri dan ini juga peluang kepada pemain kita untuk mempamerkan prestasi masing-masing," katanya,

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai isu gaji yang akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membantu menyelesaikan isu tuntutan gaji itu, Yunus berkata beliau bersyukur dan menarik nafas lega apabila segala kemelut itu sudah berakhir.

"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Apa yang saya harapkan perkara ini dapat dijadikan pengajaran oleh semua orang dan tidak lagi berulang pada masa akan datang," katanya,