PELUMBA Pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi enggan mengalah meskipun saingan kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim 2017 masih belum memihak kepada dirinya.

Kali terakhir pelumba itu menaiki podium pada perlumbaan pusingan pertama di Temerloh, Pahang, Mac lepas.

Menjelang pusingan kelapan yang akan berlangsung di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada 14 dan 15 Oktober ini, Mohd Zaqhwan yang diletakkan sebagai pelumba pilihan untuk bersaing merebut kejuaraan pada awal musim optimis mereka masih mampu untuk berada di kelompok hadapan dalam baki tiga pusingan perlumbaan terakhir sebelum saingan musim 2017 menutup tirai November ini.

“Banyak yang memperkatakan tentang kemampuan kami pada musim ini.

"Ia, memang tak dinafikan, situasi ketika ini tidak begitu memihak kepada kami, namun kami bukan hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa untuk mendapatkan jentera yang lebih baik. Pasukan terus berusaha untuk mendapatkan jentera yang mampu memberikan saingan kepada lain-lain pasukan,” kata bekas juara keseluruhan CP130 musim 2014.

Tambahnya, litar Jempol ini merupakan antara litar kegemarannya selepas melakar kemenangan di situ.

Katanya, namun untuk mengulanginya pada tahun ini, mungkin agak sukar tetapi bukan bermaksud menyerah kalah begitu sahaja.  Dia akan cuba memberikan yang terbaik dan mensasarkan penamat dalam kelompok lima pelumba terbaik dan itu satu bonus tambahan jika dapat naik ke podium.

Selepas tujuh pusingan, Zaqhwan berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan 35 mata manakala Kasma Daniel Kasmayudin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) di tangga teratas dengan 125 mata.