PELUMBA negara, Zulfahmi Khairuddin yang bakal membuat penampilan sulung dalam perlumbaan kelas Moto2 musim 2018 bersama SIC Racing Team, percaya beliau berada dalam pasukan terbaik untuk berdepan saingan perlumbaan yang mencabar musim ini.

Zulfahmi, 26, berkata kepakaran serta pengalaman luas dimiliki ketua jurutera, Fausto Bencivenni Pons amat ditagih bagi memantapkan persediaan pasukan menjelang perlumbaan pertama di Grand Prix (GP) Qatar, pertengahan Mac ini.

Meskipun menyedari bakal bersaing dengan barisan pelumba terbaik dunia, Zulfahmi yang sebelum ini pernah berlumba dalam kelas Moto3, menyifatkan ia satu cabaran perlu ditempuh setiap pelumba dalam meniti kejayaan.

“Saya yakin pasukan ini mempunyai barisan jurutera dan mekanik terbaik, selain jentera yang hebat untuk bersaing bagi mendapatkan keputusan yang baik di penghujung musim ini. Jadi saya amat berterima kasih di atas peluang diberikan.

“Selepas ditawarkan peluang berlumba bersama SIC Racing Team, saya rasa ini satu peluang keemasan yang tidak patut saya lepaskan dan saya sahut cabaran ini untuk berlumba di Moto2 pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pada sesi memperkenalkan pelumba dan jentera baharu SIC Racing Team di sini, hari ini.

Pada masa sama, Zulfahmi berkata beliau dan pasukan masih dalam fasa persediaan rapi, dan ujian tertutup di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selama tiga hari bermula esok, akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengumpul data-data penting berkaitan jentera baharunya.

“Masa sedikit suntuk terutama bagi saya dan pasukan kerana saya masih perlu menyesuaikan diri dengan jentera Moto2. Setakat ini, saya sudah menyertai ujian di Valencia, Sepanyol tetapi tidak banyak data yang dapat dikumpulkan berikutan cuaca buruk di sana.

“Saya percaya ujian tertutup di Sepang adalah ujian paling bermakna bagi saya, dan saya yakin akan dapat lebih menyesuaikan diri bersama jentera di sini,” katanya.

Untuk rekod, Zulfahmi pernah bersaing dalam Moto3 dengan pencapaian dua kali podium pada 2012. - Bernama