Si comel yang baru lahir asyik tidur sahaja. Bagaimana hendak menyusu kalau asyik tidur sahaja? Tidur memang tabiat semula jadi bayi baru lahir. Namun, jangan biarkan bayi anda tertidur ketika menyusu, ia untuk mengelakkan kekurangan susu ibu yang dihasilkan.

Bayi memang memerlukan penyesuaian dengan dunia barunya, ini membuatkan kadang kala dia lebih memerlukan tidur berbanding menyusu.

Sehingga usianya satu bulan, bayi menghabiskan masa 16.5 jam sehari untuk tidur. Si manja masih belum dapat membezakan antara waktu siang dan malam kerana pola tidurnya belum teratur.

Sepanjang masa eksklusif penyusuan susu ibu, bayi menyusu antara lapan hingga 12 kali sehari. Dia menyusu selama 10 hingga 30 minit dengan jarak waktu  antara dua hingga tiga jam sekali.

Sekiranya bayi anda terus mengantuk ketika menyusu atau dia tidur lebih tiga jam tidak bangun lagi, anda perlu mengejutkan bayi untuk menyusu. Jangan dibiarkan dia terus lena tidur!

Tip kejutkan bayi baru lahir bangun menyusu

*Geletek kaki atau telapak tangannya agar dia terjaga waktu menyusu.

*Buka baju ibu dan bayi dari bahu ke pinggang dan letakkan bayi di atas badan anda, antara perut dan payu dara. Suhu tubuh ibu akan membuatkan bayi terasa hangat sehingga dia terjaga dari tidur.

* Geletek bibirnya dengan puting susu anda yang telah dibasahi air susu untuk menstimulasi dia membuka mulut.

*Dukung bayi dengan kedudukan tegak dan agah bayi dengan berborak dengannya.