• Ong Kim Swee
1 /

HANYA tiga pemain akan menyertai skuad Harimau Muda A ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di Kazan, Russia bulan depan daripada senarai lapan pemain yang dipanggil, kata ketua jurulatih Ong Kim Swee.
    
Beliau berkata perancangan asal untuk memanggil kesemua lapan pemain berkenaan tidak dapat dilaksanakan kerana lima daripadanya mempunyai komitmen bersama pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia yang menghampiri kemuncaknya.    

Tiga pemain yang terpilih ialah Nazirul Naim Che Hashim, yang  kini beraksi bersama kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, K. Prabhakaran (Sime Darby FC) dan K. Reuben daripada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
    
"Selebihnya terpaksa diketepikan dari Universiade 2013 oleh kerana komitmen mereka bersama kelab masing-masing menuju penghujung Liga Malaysia," kata Kim Swee menerusi laman twitternya, hari ini.
    
Kim Swee sebelum ini turut dilaporkan memanggil lima pemain untuk menyertai pasukan berkenaan bagi menghadapi temasya itu.
    
Lima pemain berkenaan ialah Junior Eldstal (Sarawak), Mohammad Zubir Azmi (Terengganu), S. Sivanesan (Negeri Sembilan), Muhammad Nazri Ahmad (Johor Darul Takzim) dan Nik Mohd Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan).     

Skuad Harimau Muda A, iaitu skuad kebangsaan bawah 23 tahun itu, kini berada di Slovakia untuk menjalani latihan dan perlawanan persahabatan sebagai persediaan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, Disember ini. - Bernama