ID :  Kata Laluan :  | Daftar MyKraf | Lupa ID/Kata Laluan
8 Okt 2008,    | Pengunjung : 1649




Perhatian!

Media Network Sdn Bhd kini dikenali sebagai
KARANGKRAF NETWORK SDN BHD.

Sila hubungi talian 03-55118533 ext 439/437 untuk info lanjut / urusan langganan.




Dapatkan Borang Disini!



SEJARAH GEMILANG KUMPULAN KARANGKRAF

TINDAKAN berani dan kreatif seorang pelajar tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Haji Hussamuddin Haji Yaacob, menerbitkan sebuah buku ‘Kajian Sejarah Melayu’ pada tahun 1977, menjadi titik tolak bermulanya sejarah gemilang Kumpulan Karangraf Sdn Bhd (Karangkraf). Suntikan semangat sebenarnya datang daripada ayahandanya, Allahyarham Haji Yaacob Idris yang berjaya membesarkan anak-anak dengan cuma hasil kedai kecil ‘Toko Buku Yaacob Idris’

Kejayaan buku sulung terbitannya telah membakar semangat beliau untuk muncul sebagai penerbit berjaya. Langkah awal ialah menubuhkan syarikat Karangkraf. Sdn. Bhd. pada 1978, bersama-sama saudara-saudaranya, Haji Fickri Haji Yaacob dan Muhd. Nasir Haji Hamzah. Sebuah rumah sewa di SS 2, Petaling Jaya dijadikan pejabat operasi sekaligus kediaman mereka.

Sejak itu Karangkraf terus mengorak langkah dengan menubuhkan beberapa anak syarikat, antaranya Karangkraf Edar, Karya Bestari, Keluarga Communication, Bistari Distributor dan Karangkraf Cetak Sdn. Bhd.

Antara penerbitan awal Kumpulan Karangkraf ialah majalah Mingguan Kanak-Kanak yang pernah mencapai edaran 159,00 naskhah seminggu. Ini diikuti dengan penerbitan majalah Gelihati, Remaja dan Bacaria. Di samping turut menjadi pengedar kepada 14 penerbitan lain, antaranya Sarina, Kisah Cinta, Watan, Alam Wanita dan Majalah Koleksi. Pada 1981 lagi, syarikat telah muncul sebagai pengedar akhbar dan majalah bumiputera terbesar di Malaysia.

Januari 1983 Karangkraf diperkasakan dengan penubuhan Kumpulan Karangkraf yang diterajui sendiri oleh Haji Hussamuddin, manakala abangnya, Mohd. Fahim menjadi Pengerusi.

28 November 1984 mencatat sejarah tersendiri bukan sahaja Kumpulan Karangkraf, sebaliknya dunia penerbitan tanahair. Kumpulan Akhbar Watan (KJ) yang ditubuhkan empat bulan sebelum itu telah menggabungkan tokoh politik terkemuka Tan Sri Mohd. Khir Johari (bekas menteri) sebagai Pengerusi dan Haji Hussamuddin sebagai Pengarah Urusan yang menerajui kemunculan semula akhbar Watan (yang diambil alih daripada penerbit sebelumnya, Pustaka Antara).

Dari sebuah rumah sewa, Kumpulan Karangkraf memperkukuhkan operasi dengan memiliki bangunan 3 blok, 3 tingkat di No. 50 & 52, Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, sebagai premis perniagaan. Begitu juga dengan jumlah kakitangan yang bertambah secara mendadak selaras dengan keperluan majalah-majalah yang diterbitkannya.

Namun begitu, sebagai sebuah syarikat penerbitan yang berdaya maju, suatu ‘lompong’ yang perlu dilengkapi ialah urusan pencetakan. Syarikat berasa sudah tiba masanya memiliki syarikat pencetakan sendiri, sekaligus tidak bergantung harap dengan syarikat pencetakan lain untuk mengeluarkan majalah-majalah terbitannya.

Maka tertubuhlah Ultimate Print Sdn. Bhd. (UPSB). Kesungguhan dan keyakinan membolehkan UPSB bergerak pantas walaupun terpaksa menempuhi pelbagai ranjau dan cabaran.

UPSB yang mampu mencetak sehingga 2 juta naskhah setiap bulan dilengkapi dengan pelbagai jenis mesin yang canggih di samping para pekerja mahir. Justeru pada Oktober 2004, UPSB telah dianugerahkan sijil antarabangsa ISO 9001:2000.

UPSB dan Kumpulan Karangkraf bergerak seiring. Pada Oktober 2003, dengan jumlah 27 judul, Kumpulan Karangkraf telah diiktiraf sebagai penerbit majalah Bahasa Melayu terbanyak oleh Malaysian Book of Records. Anugerah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.

Kumpulan Karangkraf terus merancakkan nadi industri penerbitan tanah air. Penubuhan Alaf21 pada April 1997 dan Buku Prima Sdn Bhd pada 2006 memberi ruang kepada penulis dan masyarakat pembaca untuk berkongsi ilmu.

Terkini, akhbar Sinar Harian yang diterbitkan sejak 31 Julai 2006 di Kota Bharu, Kelantan menjadi satu lagi bukti kejayaan Kumpulan Karangkraf. Selepas mendapat sambutan di luar dugaan di Kelantan dan Terengganu, Sinar Harian kini berada di Pahang dan kemudiannya ke Selangor.



Trivia Karangkraf Sejak Tahun 1978-2007

  1. Menjadi pemegang francais kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mengendalikan 6 majalah dewan sejak tahun 1998.
  2. Pada 31 Julai 2002, Dato’ Seri Rafidah Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) telah melancarkan laman web Kumpulan Karangkraf bersempena dengan pelancaran 12 majalah baru.
  3. Tersenarai dalam Malaysia Book of Record sebagai syarikat penerbitan majalah berbahasa Melayu terbanyak di Malaysia - 27 majalah di pasaran pada 2003.
  4. Kumpulan Karangkraf telah dianugerahkan SUPERBRAND OF MALAYSIA pada tahun 2005.
  5. Pernah memenangi beberapa anugerah dalam majlis Anugerah Kewartawanan Institusi Akhbar Malaysia, termasuk Anugerah Kajai pada awal 1990-an dan Anugerah Penulisan Sukan selama tiga tahun berturut-turut; iaitu anugerah yang berprestij dalam industri penerbitan.
  6. Syarikat sekutu Kumpulan Karangkraf iaitu Ultimate Print Sdn Bhd yang merupakan syarikat percetakan yang terbesar di Malaysia telah menerima ISO 9001:2000 pada 2004.
  7. Pelancaran Dana Pendidikan bernilai RM5 juta bagi kakitangan syarikat pada tahun 2006 yang telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Shafie Salleh selaku Menteri Pengajian Tinggi.
  8. Tabung Yayasan NUR telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir di Perhimpunan Hari Wanita 2002 di Stadium Bukit Jalil. Yayasan Nur-Karangkraf ditubuhkan untuk mengendalikan tabung ini.
  9. Selama 3 tahun berturut-turut, Kumpulan Karangkraf telah memenangi “Anugerah Gerai Tercantik” di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bermula 2002-2004.
  10. Majalah Remaja dan Seri Dewi & Keluarga telah diaudit oleh Audit Bureau of Circulation (ABC) pada tahun 2002 dan diikuti oleh majalah Mingguan Wanita pada tahun 2003 dan majalah Rapi pada tahun 2005.
  11. Penganjuran acara Pertandingan Ibu Anggun & Sambutan Hari Ibu 2005 anjuran majalah Nona & Keluarga telah dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood. Acara ini juga disiarkan secara terus-menerus melalui rancangan Wanita Hari Ini melalui TV3.
  12. Anugerah Media Hiburan merupakan anugerah yang memartabatkan artis tempatan. Acara ini merupakan acara terbaik anjuran majalah Media Hiburan kerana ia melibatkan lebih 50 artis yang membuat persembahan. Buat pertama kalinya anugerah ini disiarkan secara rakaman menerusi TV1 pada tahun 2002 dan secara langsung melalui NTV7 pada tahun 2004 dan
  13. Anugerah Pelancongan Libur/Traverama anjuran majalah pelancongan Libur/Traverama buat pertama kalinya diadakan pada tahun 2006 dengan kerjasama Tourism Negeri Sembilan serta Kementerian Pelancongan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Mohamad Haji Hasan.
  14. Acara Celebrity Race anjuran majalah Media Hiburan dengan kerjasama TV3 telah memenangi anugerah kategori Penganjuran Program Terbaik TV dalam Anugerah Skrin 2006.
  15. Penganjuran acara Dewi Remaja & Hero Remaja anjuran majalah Remaja setiap dua tahun sekali telah menghasilkan barisan artis tempatan yang terkenal. Antaranya Tengku Anis (model), Jasmeen Dhillon (pelakon & model), Aleeza Kassim (pelakon & model), Wan Khatijah (model dan pengacara TV), Juliana Azman Banos (penyanyi & pelakon), Annahita Bakavoli (pelakon, model & pengacara TV).
  16. Manakala Hero Remaja telah melahirkan nama-nama terkenal seperti Esma Daniel, Badrul Muhayat, Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Wan Shahlim dan Zed Zaidi dan Norazlan Nordin.
  17. Selain Dewi Remaja, pertandingan lain anjuran majalah Remaja turut mengetengahkan Zahnita – Juara pencarian gadis Maybelline 1999 (pelakon/komersial TV), Fasha Sandha – tempat kedua Pencarian gadis Maybelline 1999 (pelakon/komersial TV), Fouziah - Pencarian Gadis Fair & Lovely remaja (model majalah/komersial TV/pelakon).
  18. Mengungguli anugerah persembahan media terbaik selama 3 tahun berturut-turut (2003-2005) pada Malam Media Selangor.
  19. Pada tahun 2007, Kumpulan Karangkraf telah melancarkan majalah versi digital. Sepuluh majalah dan satu akhbar terpilih terbitan Karangkraf kini boleh dilanggan dan dibaca dalam versi digital.

SINAR HARIAN dan SINAR FM akan menyinari hidup anda menerusi Ejen SINAR Ford Escape dan Skuad Cakna Rovers SINAR HARIAN. Klik sini

Korporat | Iklan Majalah | Kerjaya | Soalan Lazim | Penafian | Syarat | Peta Lokasi
Best view with Firefox and IE6 above on 1024 x 768pxl resolution. All browser compatible.
© 2008 All Right Reserved By Karangkraf.com, Karangkraf Group Pt Ltd.