Prihatin padang

Sinar Harian lancar ‘Prihatin Padang’


Bantu mangsa gempa bumi di wilayah Sumatera


SHAH ALAM - Sinar Harian semalam melancarkan ‘Prihatin Padang’, iaitu tabung khas untuk membantu mangsa gempa bumi di wilayah Sumatera Barat, Indonesia yang setakat ini telah meragut lebih 500 nyawa
.
Penerbit Sinar Harian, Akhbar Cabaran Sdn Bhd, memulakan tabung tersebut dengan sumbangan RM10,000, sementara kakitangan syarikat berkenaan telah menyumbang RM2,335.10 menerusi satu derma kilat.

Ketua Pengarang Kumpulan, Abd Jalil Ali berkata, sebagai saudara serumpun seluruh rakyat negara ini turut simpati dan terharu dengan bencana alam yang menimpa negara jiran itu.

“Saya percaya ramai dalam kalangan rakyat kita ingin menyatakan rasa simpati dengan menghulur derma, dan Sinar Harian sebagai akhbar cakna akan menguruskan dana khas untuk tujuan tersebut.

“Kita akan menghantar terus wang yang diterima daripada penderma kepada pihak berkuasa di wilayah berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Penghantaran pertama wang derma tersebut akan dihantar sendiri oleh Pengarah Urusan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub yang akan ke Padang, Isnin ini.

Jalil memberitahu ‘Prihatin Padang’ adalah inisiatif Sinar Harian dengan kerjasama Alumni Prihatin ESQ Malaysia.
Orang ramai yang ingin menyumbangkan derma untuk ‘Prihatin Padang’ boleh datang terus ke ibu pejabat Sinar Harian di Lot 2, Jalan Sepana 15/3, Off Persiaran Selangor, Seksyen 14, 42000, Shah Alam.

Mereka juga boleh mendepositkan terus sumbangan ke Akaun Karangkraf Sdn Bhd di akaun Maybank, 014271-204204.
Sebarang pertanyaan mengenai urusan derma boleh diajukan kepada Urusetia Prihatin Padang di alamat di atas, dengan menghubungi Harlina Kassim di talian 03- 51013801 atau 019-6222849 atau ‘harlina@karangkraf.com.my’, juga Ahmad Yani Abd Manaf di talian 03-51013871 atau 019- 3911313 atau ‘ahmad.yani@karangkraf.com.my’.