KUALA LUMPUR - Melaka sedang menunggu jawapan mengenai tawaran secara formal yang dibuat kepada kerajaan Persekutuan supaya projek kereta nasional ketiga negara dapat ‘dibawa’ ke negeri itu.

Ketua Menterinya, Adly Zahari berkata, tawaran tersebut dibuat kerana yakin dan cukup bersedia dengan pelbagai kemudahan bagi projek kereta nasional baharu yang disuarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bertapak di kawasan Alor Gajah, Melaka.

“Kita berikan persetujuan kepada kerajaan pusat untuk projek itu (kereta nasional ketiga) dapat dibuat (operasi) di Melaka. Keyakinan itu kerana Melaka telah jayakan industri automotif Honda (termasuk semua sektor sokongannya) di Simpang Ampat, Alor Gajah.

“Kita harap kerajaan persekutuan beri pertimbangan. Selain bersedia dengan infrastruktur automotif dan sektor sokongan kepada industri automobil yang banyak, kita juga sediakan tapak di kawasan Alor Gajah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan rancangan Ruang Bicara bertajuk ‘Melaka ke Arah Era Baharu’ terbitan Bernama News Channel di sini, tadi.

Pada Jun lalu, Dr Mahathir menyuarakan cadangan untuk mewujudkan jenama kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Adly berkata, sekiranya sektor automobil berkenaan berjaya bertapak dan berkembang secara lebih pesat di Melaka, ia akan merancakkan lagi sektor ekonomi negeri itu yang cukup sinonim melalui sektor pelancongan  dengan kehadiran pengunjung seramai 17 juta pada tahun ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Melaka turut bersedia menyediakan tapak bagi mewujudkan pusat  pendidikan dari Jepun di negeri tersebut.

“Hasil lawatan perdana menteri ke Jepun, beliau ingin melihat universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia bukan sahaja didedahkan kepada sistem pendidikan negara itu, tetapi turut mempelajari budayanya.

“Kita juga akan menulis surat formal untuk tujuan itu kepada kerajaan persekutuan dalam minggu ini untuk tujuan berkenaan (diwujudkan kampus universiti Jepun),” jelasnya.

Dalam pada itu, menurutnya bagi menarik lebih ramai pelancong dianggarkan 20 juta ke Melaka pada tahun depan, kerajaan negeri sedang pesat membangunkan terminal Maritim melalui Melaka Gateway dan Royal Caribbean berkonsepkan ‘Cruise Maritime’ yang dijangka berlabuh di terminal berkenaan hujung tahun depan.

“Di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir, beliau telah memberi keizinan untuk Melaka memulakan pembangunan pelabuhan di Kuala Linggi dan kita dapat lihat hasilnya paling cepat dalam tempoh lima tahun.

“Bagi perancangan jangka panjang, Melaka sedang membangunkan sektor industri pelabuhan di Kuala Linggi dan Tanjung Beruas. Melaka juga antara penyumbang besar bagi sektor perindustrian negara, mencecah RM5 bilion setahun,” katanya. - Bernama