Sebagai ibu bapa, anda seharusnya mendidik anak-anak daripada usia muda ini dengan adab-adab beraya. Panduan ketika berhari raya ini mungkin dapat membantu anda mengajar si manja.

1. Bersedia daripada segi fizikal dan mental

Pastikan si anak sudah bersedia untuk keluar menziarah sanak saudara di Hari Raya. Hal ini sangat penting terutamanya bagi anda yang ada bayi yang masih kecil. Pastikan si manja diberi susu atau makanan secukupnya.

Malah, ada baiknya juga jika dia membuang air besar sebelum keluar rumah. Jadi, tidaklah ia mengganggu jadual perjalanan malah mood anda sendiri yang perlu menguruskan si kecil.

 2.Pertimbangkan keadaan anak ketika beraya

Walaupun teruja hendak berhari raya di rumah sanak saudara, anda tetap perlu pastikan keadaan semasa anak. Barulah semuanya selesa dan dalam mood yang baik.

Hal ini terutamanya anak yang masih bayi. Dia memerlukan tidur yang cukup. Elakkan juga beraya sehingga lewat malam. Bayi memang mudah letih menempuh hari yang panjang bersama anda.

3. Kawal pergerakan dan tingkah laku anak

Apabila berada di rumah orang, anda perlu selalu memerhati gelagat si anak. Pastikan dia berada berhampiran anda dan bukannya berkeliaran di dalam mahupun luar rumah orang yang anda sekeluarga kunjungi. Bukannya apa, risau juga jika dia membuat sepah di rumah orang ataupun membahayakan diri sendiri apabila berada di luar rumah.  

 4. Hargai harta benda tuan rumah

Hal ini sangat penting untuk anda beri perhatian sewajarnya. Pastikan anak anda tidak merosakkan barangan yang terdapat di rumah yang anda kunjungi. Si kecil sememangnya belum berakal untuk mengerti tentang nilai sentimental yang ada pada barangan tersebut. Jadi, sebagai ibu bapanya, anda harus mengingatkan anak-anak untuk tidak mengusik barangan tuan rumah.

 5. Anggap rumah yang dikunjungi seperti rumah sendiri

Anak kecil memang lasak. Jika berlaku keadaan seperti anak anda menumpahkan air atau menaburkan makanan yang dihidangkan, maka anda bertanggungjawab untuk mengemasnya semula. Jangan biarkan hal ini dilakukan oleh tuan rumah!

6. Jangan ajar anak minta duit raya

Sebagai ibu bapa, anda wajib mendidik anak untuk meminta duit raya kepada sesiapa jua. Jika ada, adalah. Jika tidak ada, tak mengapa. Pemberian duit raya adalah berdasarkan niat si pemberi. Ajar dia menghormati bulan Syawal sebagai bulan untuk beramah mesra sesama saudara-mara dan jiran tetangga.

7. Ajar anak hargai duit raya yang diterima

Ajar juga anak anda untuk tidak membuka sampul raya di hadapan tuan rumah. Didik dia adab yang betul. Pesan pada dia agar buka sampul raya hanya setelah berada di dalam kereta atau ketika berada di rumah sendiri.

8. Sediakan duit raya untuk anak tuan rumah

Sekiranya ada rezeki lebih, tidak salah jika anda memberikan duit raya kepada anak tuan rumah yang dikunjungi. Secara tidak disedari, anda sedang melakukan amal jariah dan pada masa yang sama mengembirakan anak tuan rumah.