PEMAIN sayap Kedah Bawah 21 Tahun, Hidhir Idris kini dalam perhatian Ketua Jurulatih utama Kedah, Ramon Marcote untuk diserapkan ke skuadnya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018.

Pemain berusia 21 tahun itu kini cemerlang pada aksi Pramusim 2018 bersama Hijau Kuning di Kejohanan Piala Super Suramadu di Indonesia apabila menjaringkan dua gol pada dua perlawanan berturut-turut.

Pegawai Tadbir Pasukan Kedah Bawah 21 Tahun, Amirul Nidzam Mahadzir berkata, Marcote telahpun menyuarakan hasratnya secara lisan untuk membawa Hidhir bersama pasukannya pada musim ini.

Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Pengurus Kedah Bawah 21 Tahun, Zambri Mat yang turut bersama di Surabaya mengikuti perkembangan semasa pemain-pemainnya.

"Pengurusan Piala Presiden pasti akan memberikan laluan kepada Hidhir sekiranya Ketua Jurulatih Ramon Marcotte memerlukan khidmat beliau untuk bersama Pasukan Liga Super.

Dengan prestasi yang agak cemerlang bersama pasukan utama sepanjang kejohanan di Surabaya membantu jentera serangan skuad itu, beliau semakin yakin menunjukkan kemampuan yang sebenar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Amirul Nidzam berkata, matlamat pasukan pembangunan bolasepak Kedah adalah sentiasa menyedia dan  melahirkan pemain untuk diserapkan kepada pasukan utama negeri.

Kelibat Hidhir menarik perhatian Marcote apabila berjaya membantu jentera serangan di dalam mengempur kubu lawan selain mampu menghidu peluang untuk menjaingkan gol.

Musim lalu, pemain tersebut antara tonggak pasukan Kedah Bawah 21 tahun yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Presiden 2017.