KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan setakat 5 petang ini berikutan orang ramai mula pulang ke kampung bersempena cuti sekolah dan sambutan Aidiladha esok.

Menurut jurucakap PLUS Malaysia Berhad, aliran trafik di utara perlahan dari Seberang Jaya ke Permatang Pauh, Tapah ke Gopeng dan Slim River menuju ke Sungkai.

 “Di selatan, trafik perlahan dari Nilai ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Skudai menuju ke Senai Utara dan Kompleks Sultan Abu Bakar dari Malaysia menuju ke Singapura berikutan pertambahan jumlah kenderaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik dilaporkan perlahan dari Plaza Tol Gombak menuju R&R Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Plaza Tol Bentong.

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 bagaimanapun dilaporkan lancar di kedua-dua arah.      

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama