PENGENDALI Selangor, P Maniam menafikan berita dua tonggaknya, Mohd Amri Yahyah dan Andik Vermansyah akan meninggalkan pasukan itu musim depan.

Menurutnya, pihak pengurusan masih membuat perbincangan mengenai kontrak kedua-dua pemain bintang itu, namun enggan memberi bayangan sama ada mereka akan terus menyarung jersi merah kuning.

"Semua masih dalam perbincangan. Saya pasti kalau diikutkan kedua-dua masih mahu bersama Selangor.

"Tapi, semuanya akan terpulang kepada keputusan perbincangan mereka dengan pengurusan mengenai soal kontrak," katanya.

Sebelum ini, berita mengenai kedua-dua pemain itu akan meninggalkan The Red Giants hangat diperkatakan selepas kedua-dua pemain itu memberi bayangan melalui status yang dimuatnaik di laman sosial masing-masing.

Dalam pada itu, Maniam turut memberi bayangan akan menggunakan ramai tenaga muda dalam pasukan itu musim depan.

"Kita akan menaiktaraf sebilangan besar pemain Piala Presiden di dalam pasukan untuk memberi nafas baharu kepada pasukan.

"Tapi pada masa sama, kita juga akan mengekalkan beberapa pemain senior seperti Razman Roslan yang amat penting kerana ada pengalaman yang cukup berguna untuk membantu pemain muda," katanya.