KHAIRUL Fahmi Che Mat memohon maaf kepada penyokong Kelantan selepas melepaskan gol mudah ketika pasukannya tunduk 3-4 kepada Ratchaburi FC pada aksi penutup Piala Super Boost SportsFix di Stadium Nasional, malam semalam.

Penjaga gawang nombor satu Kelantan itu mengakui jaringan kemenangan Ratchaburi FC berpunca kealpaannya sendiri sehingga menyebabkan pasukannya kempunan untuk merangkul kejuaraan saingan tiga penjuru tersebut.

“Memang gol kemenangan lawan pada minit-minit akhir itu hasil kesilapan saya dan saya minta maaf kepada semua rakan-rakan (pemain) dan penyokong setia Kelantan.

“Sudah tentu ia menjadi pengajaran berguna buat saya dan pasukan lebih-lebih lagi untuk menghadapi saingan Liga Super yang lebih mencabar nanti,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.  

Pertemuan menentang kelab Thailand itu bagaikan igauan buruk buat bekas penjaga gol kebangsaan itu apabila dia secara tidak sengaja tertampan masuk bola percubaan lintang Sila Srikampang ke gawang sendiri, pada minit ke-89.

Jaringan lewat itu bukan sahaja memusnahkan impian Kelantan untuk bergelar juara kerana mereka hanya memerlukan seri pada perlawanan tersebut sebaliknya membolehkan Ratchaburi FC ‘membantu’ Persija Jakarta mendakap trofi berdasarkan perbezaan jaringan bolos.