KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi Bernama, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman menawar diri bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dalam pemilihan parti itu pada 30 Jun ini.

Abdul Rahman, 72, yang turut menawarkan diri bertanding Ketua Umno Bahagian Parit Buntar berkata, beliau membuat keputusan itu selepas melihat keperluan memulihkan imej Umno yang kini tercalar akibat mainan persepsi oleh parti lawan selain rasa tanggungjawab untuk memastikan parti itu terus relevan di negara ini.

"Saya yakin dengan pengalaman selama lebih enam tahun membantu memulihkan imej kerajaan dan parti melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ekoran Krisis Kewangan Asia 1997/98, selain sebagai Pengerusi Bernama dari 2010 hingga 2016 dan pengalaman keseluruhan dalam dunia kewartawanan serta bidang berkaitan selama 52 tahun, saya mampu sedikit sebanyak menyumbang kearah pemulihan parti.

"Bagi saya Umno sebagai parti Melayu Islam tertua dan terbesar di negara ini wajib dipulihkan sebagai bukan sahaja parti politik tetapi juga institusi yang berwibawa, dihormati dan disegani oleh semua pihak," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau sebelum ini pernah bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Parit Buntar pada tahun 2000 namun tewas sebelum membuat keputusan mengendurkan langkah dalam arena politik.

Katanya, Umno sebagai sebuah institusi yang hebat tidak boleh dibiarkan berkubur sebaliknya diangkat kembali sebagai benteng untuk melindungi kepentingan Melayu, Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain, kemurnian agama Islam dan kedudukan raja-raja Melayu.