GEORGETOWN - Teka-teki siapakah yang akan menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 akhirnya terjawab apabila Adun Pinang Tunggal, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman daripada PKR dilantik memegang jawatan berkenaan berkuatkuasa hari ini.

Ahmad Zakiyuddin antara lima muka baharu yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang di hadapan Yang dipertua Negeri , Tun Abdul Rahman Abbas di sini hari ini.

Selain Zakiyuddin, Adun Tanjong Bungah, Zairil Khir Johari,Adun Batu Maung, Datuk Abdul Halim Hussain, Adun Paya Terubong, Yeoh Soon Hin dan Adun Jawi ,Soon Lip Chee dipilih untuk menganggotai kepimpinan kerajaan negeri.

Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang diadakan Dewan Sri Pinang turut menyaksikan enam bekas exco sebelum ini meneruskan khidmat mereka termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Dr P. Ramasamy kekal sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

AFIF

Muka lama yang dikekalkan ialah Adun Sungai Puyu, Phee Boon Poh; Adun Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo; Adun Padang Lalang, Chong Eng dan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Antara perubahan portfolio yang mencuri tumpuan - Kon Yeow mengambil alih portfolio pengangkutan, manakala portfolio kerajaan tempatan yang dipegangnya sebelum ini diserahkan kepada Jagdeep Singh.

Selain itu, dua portfolio baru diperkenalkan, iaitu Keterangkuman Gender di bawah Chong Eng, dan Perhubungan Masyarakat di bawah Datuk Zakiyuddin.

DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.

Pakatan Harapan (Harapan)  Pulau Pinang yang menggunakan logo PKR mengekal kemenangan apabila memenangi 11 kerusi Parlimen dan 37 Dun.

Senarai Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ketua Menteri

Chow Kon Yeow

- Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah

- Pengangkutan

- Penerangan

Timbalan Ketua Menteri I

Datuk Ir Zakiyuddin Abdul Rahman

- Hal Ehwal Agama Islam

- Pembangunan Industri

- Perhubungan Masyarakat

Timbalan Ketua Menteri II

Dr P Ramasamy

- Perancang Ekonomi Negeri

- Pendidikan

- Pembangunan Modal Insan

- Sains, Teknologi dan Inovasi

Chong Eng

- Pembangunan Wanita dan Keluarga

- Keterangkuman Gender

- Agama Selain Islam

Jagdeep Singh Deo

- Kerajaan Tempatan

- Perumahan

- Perancangan Bandar dan Desa

Phee Boob Poh

- Kebajikan

- Masyarakat Penyayang

- Alam Sekitar

Dr Afif Bahardin

- Kesihatan

- Pertanian & Industri Asas Tani

- Pembangunan Luar Bandar

Zairil Khir Johari

- Kerja Raya

- Utiliti

- Tebatan Banjir

Datuk Halim Hussain

- Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa

- Hal Ehwal Pengguna

- Pembangunan Keusahawanan

Yeoh Soon Hin

- Pembangunan Pelancongan

- Warisan, Kebudayaan & Kesenian

Soon Lip Chee

- Belia dan Sukan