PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menerima kunjungan daripada wakil masyarakat Orang Asli Gua Musang, Kelantan bagi mendengar permasalahan berhubung dakwaan pencerobohan tanah wilayah adat kaum itu oleh beberapa syarikat.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya selepas menerima memorandum daripada Pengerusi Jaringan Kampung Wilayah Tanah Adat Pos Simpor, Nur Mohd Shafiq Dendi Abdullah bagi menuntut pengiktirafan wilayah tanah adat Orang Asli melalui kaedah Geran Komuniti.

Satu pertemuan bersama Perdana Menteri diaturkan jam 3.30 petang ini, katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Perdana Putra di sini hari ini.

“Perdana Menteri mahu mendengar dan mendapat maklumat secara terperinci isu yang membelenggu kaum Asli Temiar itu sehingga mendorong mereka membina sekatan bagi menghalang syarikat-syarikat yang mencerobohi sebelum memutuskan sebarang tindakan,” katanya.

Isu itu tercetus apabila beberapa syarikat didakwa menceroboh tanah wilayah adat bagi membuka ladang durian sehingga mendorong masyarakat Orang Asli dari 17 buah perkampungan bertindak membina sekatan bagi menghalang aktiviti pencerobohan itu sejak 18 Febi lepas.

Sementara itu, Mohd Shafiq Dendi yang juga Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan  berkata pihaknya amat berterima kasih dengan keprihatinan Dr Mahathir untuk bertemu dan berbincang bagi mencari jalan menyelesaikan kemelut itu.

Beliau yang mengetuai 220 Orang Asli hadir bagi menyerahkan memorandum itu, berkata pihaknya kini menaruh sepenuh kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan selepas usaha mendapatkan pertolongan daripada kerajaan Kelantan menemui jalan buntu. - Bernama