MANCHESTER City sudah tidak sabar untuk menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas jaringan David Silva berjaya mengukuhkan kedudukan skuad The Citizens untuk bergelar juara apabila menyumbat dua gol bagi mengatasi Stoke City 2-0, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Pep Guardiola berpeluang menang besar ke atas pasukan yang diambang penyingkiran kendalian Paul Lambert itu, namun 2-0 sudah memadai untuk mereka setelah berkelebihan 16 mata dari tempat kedua Manchester United.

Selepas mengembalikan semula kelebihan 16 mata di puncak carta, kemenangan terbaru membolehkan City berpotensi memastikan kejuaraan awal bulan depan apabila mereka melayan pasukan tangga kedua yang juga musuh setempat United dalam pertembungan jiran tetangga Manchester.

City bagaimanapun perlu menewaskan Everton di Goodison Park 31 Mac ini jika mereka mahu melangkah ke pertembungan Manchester pada 7 April dengan kejuaraan di dalam tangan.

Kapten City, Vincent Kompany yang menjulang trofi liga bersama City pada 2012 dan 2014 memahami emosi itu dan mengakui mereka mempunyai peluang “sekali dalam seumur hidup” untuk memenangi gelaran tersebut.

“Saya fikir semua orang yang berjersi biru Manchester sedar ia peluang sekali dalam seumur hidup.

“Tapi, kami mempunyai satu perlawanan sebelum menentang United dan kita lihat saja nanti. Namun tenang dulu, ia tidak akan semudah itu.

“Ia detik yang penting tahun ini, setiap kemenangan membawa anda hampir kepada matlamat," katanya.