MANULIFE Asset Management Services Berhad (MAMSB) baru-baru ini mengumumkan pelancaran Manulife Investment Shariah Progress Plus Fund (Dana) yang diwujudkan khas untuk pelabur-pelabur yang sedang mencari kepelbagaian peluang ekuiti berlandaskan Syariah dalam persekitaran ekonomi yang semakin berkembang di rantau Asia Pasifik.

Dana ini boleh melabur sehingga 30 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) dalam ekuiti-ekuiti berlandaskan Syariah di pasaran serantau tetapi tidak terhad kepada Malaysia, Australia, China, Hong Kong, Indonesia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Thailand.

Dana ini mempunyai strategi pelaburan yang serupa dengan Manulife Investment Shariah Progress Fund dengan memanfaatkan peningkatan peluang pertumbuhan syarikat-syarikat yang mematuhi keperluan syariah, dengan pilihan pelaburan lebih luas menerusi pendedahan kepada rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif MAMSB, Jason Chong berkata, dana baharu Manulife Investment Shariah Progress Plus diwujudkan untuk memberi akses kepada para pelabur terhadap peluang pelaburan yang luas dalam ekuiti Islam di syarikat-syarikat kecil dan sederhana di rantau ini.

"Pelaburan Dana ini terdiri terutamanya daripada portfolio ekuiti pelbagai berlandaskan Syariah di Malaysia, dengan penekanan terhadap potensi pertumbuhan yang tinggi untuk syarikat-syarikat kecil dengan agregat pertumbuhan yang dilihat lebih pantas berbanding syarikat-syarikat yang lebih besar.

“Dengan menawarkan pilihan pelaburan unit amanah berlandaskan Syariah, pendedahan geografi yang lebih luas, di samping mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan Manulife Investment Shariah Progress Fund, MAMSB memberikan fleksibiliti, seiring dengan keperluan pasaran yang sentiasa berubah dan juga permintaan yang semakin meningkat di kalangan pelabur-pelabur yang mempunyai permintaan pelaburan dan risiko yang berbeza,” katanya.

Tambahnya, selain kepelbagaian pelaburan, Dana ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada syarikat-syarikat kecil dan sederhana yang menawarkan penilaian lebih menarik dan mempunyai kedudukan khusus dalam rantaian bekalan global.

"Dalam tempoh tawaran awal dari 13 April 2018 hingga 3 Mei 2018, harga tawaran awal Manulife Investment Shariah Progress Plus Fund ialah RM0.25 seunit.

"Pelaburan awal minimum bagi Manulife Investment Shariah Progress Plus Fund ialah RM1,000 manakala pelaburan tambahan minimum ialah RM500," katanya.