Saat terpandang wajah jelita Joy Revfa, hati usahawan emas dan perak ini mula terusik. Bagai tidak lena tidur malamnya selagi tidak mengenali wanita ini dengan lebih dekat. Raut wajah persis ratu cantik milik wanita berdarah kacukan Indonesia ini sentiasa bermain di fi kiran lelakinya. Mungkin inilah yang dinamakan penangan cinta.

 

Seperti jalan cerita filem cinta romantis begitu jugalah perjalanan cinta Dato’ Ray Imran dan Datin Joy Revfa. Hati jejaka yang berasal dari Johor ini mula tertawan saat terlihat kelibat Joy bersama kenalan lamanya, Dyana Sofia di sebuah kafe sekitar Danau Kota, Kuala Lumpur pada 2 Julai 2009. Menyedari status Dyana adalah kakak kepada Joy seakan memberi ruang mudah untuknya mendekati gadis pujaan.

 

“Tidak lama selepas insiden itu, saya telah berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk bekerja dan tinggal di sana. Usaha Dato’ Ray untuk mendekati saya melalui Facebook masih saya ingat hingga ke hari ini. Seperti semuanya baru sahaja berlaku semalam,” jelas Datin Joy.

 

Setelah lebih 2 tahun menempuh pelbagai dugaan dan menyulam benang-benang cinta, Dato’ Ray kembali bertemu Joy untuk menyunting wanita tersebut sebagai permaisuri hidupnya. Bersaksikan Eiffel Tower di Paris jejaka ini meluahkan hasrat hatinya itu pada 17 September 2012. Seakan terkedu dengan pertanyaan kekasihnya itu, Joy dengan tenang menerima lamaran tersebut.

 

“Bagi saya, Dato’ Ray adalah seorang lelaki yang sempurna. Dia seorang yang cool, romantik, mudah tersenyum dan pemurah. Sama ada berita gembira atau duka, dia sentiasa kelihatan tenang. Saya sudah kenal dengan ramai lelaki tetapi apabila bersama dengan dia, saya rasa selamat. Dato’ Ray juga adalah lelaki yang sering mengotakan janji,” bicara Datin Joy sambil tersenyum bahagia.

 

31 Januari 2013 menjadi tarikh keramat buat pasangan bercinta ini apabila Dato’ Ray secara sah menjadi suami kepada Joy. Hotel Hilton Kuala Lumpur menjadi lokasi berlangsungnya majlis pernikahan gilang-gemilang mereka. Kira-kira 200 tetamu hadir meraikan hari bersejarah ini. Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuk anakanda Sultan Perak YAM Raja Shuibah Ibni Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkil Alallahi Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah Kadassalah.

 

Anak kedua kepada Allahyarham Mohd Amin bin Awang dan Puan Sofia binti Abbas ini menerima sebentuk cincin Bvlgari, mas kahwin RM300 dan wang hantaran sebanyak RM55,555.55 sebagai simbolik tarikh pertemuan pertama mereka berdua.

 

Selain itu, Joy turut menerima 9 dulang hantaran berupa kasut tumit tinggi jenama Christian Louboutin bersama dompet Gucci, beg tangan Christian Dior dan tali pinggang Louis Vuitton, minyak wangi Chloe, tepak sirih, produk penjagaan kulit Chanel, senaskah Al-Quran, telefon bimbit I phone 5 bersama gelang tangan Pandora, kosmetik Graftobian dan kaca mata hitam serta minyak wangi jenama Gucci.

 

Manakala anakanda Abdul Rahim bin Mat Yusop dan Saodah binti Abdullah pula menerima 11 dulang hantaran termasuk telefon bimbit iPhone 5 dan iPad, dompet, tali pinggang dan kaca mata hitam Louis Vuitton, senaskah Al-Quran, manisan, kek, jam tangan, sepasang kasut dan minyak wangi daripada jenama Gucci serta sirih junjung.