Bekas anggota Phyne Ballerz yang juga pelakon, Munir telah membuat pengakuan kepada Media Hiburan Online bahawa dia dan isterinya, Yuhaznimie Yaakob telah sah bercerai pada 18 Jun, kira-kira tujuh hari yang lalu. 
 
Pasangan ini memfailkan perceraian di Mahkamah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan segala-galanya selesai selepas dia menjatuhkan talak secara sah ke atas bekas isterinya itu pada hari tersebut.
 
"Jodoh kami sampai setakat ini sahaja. Keputusan ini dibuat atas persetujuan bersama tetapi atas permintaan dia. Dalam perceraian, saya perlu memberitahu kepada umum supaya tidak timbul fitnah suatu hari nanti. Sekarang bekas isteri masih dalam tempoh edah.
 
"Sebenarnya sudah setahun kami cuba memperbaiki hubungan ini malah kami juga pernah mengambil pendekatan untuk pergi bercuti bersama. Tetapi akhirnya berpisah juga jalan terbaik untuk kami.
 
"Awalnya saya terkejut tetapi selepas menjatuhkan talak, hati saya rasa tenang. Ini merupakan pengajaran dalam hidup saya dan ianya adalah ketentuan Allah," ujar selebriti berusia 40 tahun ini yang masih kelihatan sedih dengan situasi tersebut.
 
Pasangan ini telah mendirikan rumah tangga pada 19 Ogos 2007 yang lalu dan mereka juga tidak mewar-warkan majlis tersebut kepada umum. Sepanjang tujuh tahun usia perkahwinan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.