PENJAGA gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Farizal Marlias bertekad untuk melupakan sejarah hitam dalam kariernya selepas selesai menjalani hukuman penggantungan yang dikenakan oleh Konfedarasi Bolasepak Asia (AFC).

Sebelum ini, Farizal dihukum AFC selepas bertindak agresif ke atas pengadil perlawanan ketika pasukannya tewas di tangan kelab Filipina, Ceres Negros FC ketika saingan Piala AFC, 31 Mei tahun lalu.

Disebabkan itu, beliau telah digantung daripada menyertai mana-mana perlawanan sehingga 8 Jun 2018, namun beliau berjaya membuat rayuan untuk tempoh hukaman itu dipendekkan kepada 10 Februari lalu.

Jelas Farizal, fokusnya kini terarah untuk memberi sepenuh komitmen kepada skuad Harimau Selatan dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC tahun ini.

"Saya bersyukur kerana penantian yang panjang untuk kembali beraksi sudah berakhir dan pastinya lebih manis apabila mendapat kepercayaan jurulatih untuk mengawal gawang JDT pada perlawanan tempoh hari.

"Mengenai isu penggantungan, biarlah ia menjadi sejarah dan saya sudah melupakan detik hitam itu. Kini tumpuan saya adalah untuk memberi sepenuh komitmen buat JDT," katanya di laman rasmi kelab.

Mengulas mengenai perasaannya kembali menggalas tanggungjawab menjaga gawang JDT, Farizal mengakui sedikit gugup selepas sekian lama tidak beraksi.

"Sememangnya ada perasaan gugup selepas lama tidak beraksi namun galakan dan sokongan daripada rakan sepasukan yang kerap memberi kata-kata semangat, mencetus keazaman buat saya untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Saya hanya lakukan rutin biasa sahaja dengan mengikut arahan dan tunjuk ajar daripada jurulatih sebelum turun beraksi. Malah saya turut mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan lawan. Alhamdullilah semuanya berjalan baik dan kami mendapat keputusan positif dengan kemenangan 3-0," katanya lagi.