PEMAIN tengah England Alex Oxlade-Chamberlain mengakui hatinya bagaikan hancur apabila terpaksa melupakan kempen Piala Dunia yang akan berlangsung di Russia, Jun nanti buat kali ketiga.

Piala Dunia 2018 adalah kejohanan antarabangsa ketiga tidak dapat disertai Oxlade-Chamberlain susulan kecederaan lutut.

Pemain tengah itu yang berpindah dari Arsenal ke Liverpool pada awal musim, terlepas aksi Piala Dunia 2014 selepas mengalami kecederaan dalam aksi pemanas badan bersama England.

Dia juga tidak beraksi di Kejuaraan Eropah 2016 akibat kecederaan sama.

“Kecederaan ini benar-benar meremukkan hati saya pada masa yang sangat penting. Saya kecewa. Saya tidak akan dapat memainkan peranan penting dalam Piala Dunia bersama England.

“Bagaimanapun, saya akan memberi sokongan kepada rakan sepasukan. Saya tahu kami mempunyai kemampuan untuk melakukan sesuatu yang istimewa dalam kejohanan ini, saya akan memberikan segala diperlukan untuk memastikan saya kembali secepat mungkin.," katanya yang mengalami kecederaan ligamen lutut ketika beraksi bersama Liverpool menentang AS Roma dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam

Pemain berusia 24 itu diusung keluar selepas berlanggar dengan pertahanan Roma Aleksandar Kolarov pada separuh masa pertama perlawanan yang menyaksikan Liverpool menang 5-2 dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield.