BERUAS – Sebuah bot nelayan tempatan bernilai RM1.3 juta  dibebas dan dipulangkan oleh Tentera Nasional Indonesia  Angkatan Laut (TNI-AL) setelah ditahan pihak berkuasa negara jiran itu di 25 batu nautika berhampiran Pulau Pangkor, Isnin lalu.

Bot yang membawa empat kru termasuk seorang tekong warga Thailand berumur lingkungan 39 hingga 50 itu turut ditahan kerana didakwa berada di kawasan perairan bertindih iaitu di 1.5 batu nautika dari Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM) Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Aliyas Hamdan berkata bot itu dilepaskan hasil rundingan antara pihaknya dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan polis dari pemilik bot berkenaan kira-kira pukul 4 petang sebelum pihaknya segera menghubungi TNI-AL bagi membebaskan bot tersebut.

“Kita mendapatkan bantuan dari Badan Keamanan Laut (Bakamla) Indonesia bagi mengesan bot nelayan itu yang dipercayai ditahan kapal penguatkuasa Indonesia KRI 630 milik  

“Siasatan melalui Automatic Identification System yang dipasang pada bot berkenaan bagaimanapun mendapati bot tersebut masih berada di perairan negara semasa ditahan,” katanya kepada pemberita di jeti pelantar ikan di Pantai Remis di sini hari ini.

Mohd Aliyas berkata rundingan pihaknya dengan TNI-AL akhirnya membuahkan hasil apabila bot tersebut berjaya dibebaskan dan dibenarkan pulang 3 petang semalam sebelum bot nelayan itu tiba di sini jam 7.30 pagi tadi.

“Kita menghargai kerjasama TNI-AL dalam isu pembebasan bot nelayan Malaysia. Kerjasama ini diyakini berdasarkan pematuhan perjanjian persefahaman (MOU) Malaysia-Indonesia yang ditandatangani sejak 2012,” katanya.

Mohd Aliyas berkata tahun ini, 12 kes bot nelayan tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia di mana tiga daripadanya berjaya dibebaskan manakala pihaknya telah menahan sembilan bot nelayan Indonesia yang telah memasuki perairan negara tanpa izin.

Beliau berkata pihaknya sedang melakukan rundingan untuk membawa pulang kesemua bot nelayan tempatan yang dikatakan berada di perairan Indonesia ketika ditahan manakala pemilik bot menafikan dakwaan tersebut.

“Sebab itu kita menggalakkan pemilik kapal untuk memasang sistem pengesan bagi menjadi bukti semasa rundingan dengan pihak berkuasa Indonesia bagi memudahkan bot mereka dibawa pulang semula,” katanya.

Sementara itu, pemilik bot berkenaan, Khor Hooi Chin, 37, berkata ini kali ketiga bot miliknya ditahan pihak berkuasa Indonesia, namun berjaya dipulangkan hasil daripada kerja keras Maritim Malaysia dan TLDM yang melakukan rundingan dengan negara jiran itu.- Bernama.